Adat Perkahwinan
Tradisional Masyarakat Melayu
Adat perkahwinan tradisional masyarakat Melayu boleh dibahagikan kepada beberapa proses iaitu merisik atau meninjau; upacara peminangan; upacara menghantar tanda; hantaran belanja; menjemput; upacara nikah; berinai besar; hari persandingan; jemput menantu.
Merisik
Permulaan
proses perkahwinan ialah merisik atau meninjau. Biasanya dilaksanakan oleh
keluarga pihak lelaki, khususnya ibubapa. Setelah teruna dan keluarganya
berkenan dengan gadis yang dipilih , usaha merisik dijalankan untuk mengetahui
samada gadis itu sudah berpunya atau tidak. Hasil daripada merisik ini akan
dibuat rundingan dengan keluarga si teruna. Apabila diketahui sigadis belum
berpunya upacara peminangan diaturkan.
Acara Peminangan
Meminang
sigadis hanya dilakukan bila keluarga sigadis menyatakan persetujuannya. Tugas
meminang biasanya dilakukan oleh wakil kedua-dua belah pihak, biasanya
ketua-ketua adat dan syarak. Semasa meminang akan ditetapkan tarikh menghantar
tanda. Perkara-perkara yang dibincangkan semasa upacara peminangan ialah
hantaran belanja, persalinan dan tempoh bertunang. Disesetengah-sesetengah
tempat berita pertunangan itu diberitahu kepada seisi kampong oleh Ketua
Kampong di masjid ketika mengadakan sembahyang Jumaat.
Menghantar Tanda
Semasa
upacara menghantar tanda, kebiasaannya sebentuk cincin akan dihantar oleh pihak
teruna untuk disarungkan ke jari tunangannya. Menyampai dan menerima cincin itu
dilakukan dalam majlis di rumah sigadis. Cincin ini disebut sebagai ‘cincin tanda’.
Ia biasanya diiringi juga dengan sebahagian wang hantaran belanja. Tarikh
perkahwinan juga dibincangkan bersama.
Hantaran belanja
Pada
tarikh yang dijanjikan upacara menghantar belanja dijalankan. Kedua-dua belah
pihak diketuai oleh Ketua Kampong atau Ketua Syarak. Wang hantaran itu biasanya
diiringi dengan persalinan untuk sigadis. Ia digubah dalam berbagai bentuk atau
dibungkus dalam kain sahaja mengikut adat daerah masing-masing. Iringan yang
lain termasuk bunga rampai; sirih junjung atau tepak sireh sahaja; pahar telor
merah dan nasi semangat; alat solek; buah-buah atau lain-lain.
Menjemput
Waris
bakal pengantin ( ayah atau ibu, atau orang yang wajib dan diwakilkan) akan
berkunjung ke rumah orang tua-tua di kampong itu untuk membritahu tentang hari
perkahwinan itu. Mereka akan membawa tepak sireh dan terus menjemput dan
meminta sanak saudara serta sahabat handai datang ke rumahnya bagi mengelolakan
majlis itu. Majlis kenduri kahwin dimulakan di rumah pengantin perempuan.
Upacara Nikah
Upacara
akad nikah dijalankan sebelum upacara berinai besar dan bersanding. Imam
mewakili wali perempuan menjadi jurunikah. Dalam upacara ini juga disahkan
hantaran dan lain-lain. Mas kahwin disebut samada hutang atau tunai. Mas kahwin
akan diserahkan kepada pangantin perempuan dan menjadi haknya. Dari saat ini
sahlah mereka menjadi suami isteri.
Berinai Besar
Kedua
pengantin memakai pakaian pengantin. Pengantin lelaki datang ke rumah pengantin
perempuan dengan iringan arakan rebana. Upacara berinai didahului oleh pengantin
lelaki yang duduk di pelamin. Ahli keluarga akan bergilir-gilir menjalankan
upacara itu. Pengantin perempuan akan mengambil tempat selepas pengantin
lelaki.
Majlis persandingan
Dihari
persandingan, jamuan diadakan secara besar-besaran di rumah pengantin
perempuan. Pengantin lelaki serta rombongannya akan diarak dan diiringi dengan
selawat dan pukulan rebana dari rumahnya atau tempat persinggahannya ke rumah
pengantin perempuan. Hantaran akan dibawa bersama sekiranya ia belum dihantar
terlebih dahulu.
Jemput menantu
Majlis
jemput menantu atau ‘menyambut menantu’ diadakan di rumah pengantin lelaki.
Pengantin perempuan dijemput datang ke rumah pengantin lelaki biasanya dibuat
pada hari ketiga, kelima atau seminggu selepas diadakan majlis persandingan.